Galeri

Friday, 14 February 2014

Assalamualaikum... apa khabar rakan-rakan di alam maya? Bertemu kembali setelah lama menyepi diri...bukan tidak mahu menulis tapi apakan daya tuntutan kerja yang semakin hari semakin banyak dan meletihkan.. Itulah hakikat kerjaya sebagai seorang guru masa kini.... Kepuasan mengajar tidak lagi seperti dulu..dek kerana terlalu banyak yang perlu direkodkan untuk menyelesaikan PBS. Namun kesabaran dan minatku terhadap dunia pendidikan masih seperti dulu..tidak pernah berubah.Semoga Allah memberi kekuatan untukku meneruskan hasrat mendidik anak bangsa demi kejayaan di akhirat...amin..


SAJAK “GURU O GURU” – USMAN AWANG (1979)

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Sunday, 13 January 2013

Assalamualaikum buat semua,
Sepurnama sudah tidak ke udara. Rasanya ingin menyambung semula perkongsian cerita dan bicara ilmu. Halaman yang telah tersedia sebenarnya memang amat membantu kita untuk bersama mencari dan menimba ilmu serta berkongsi pengalaman.
Kini kita telah bersedia untuk mengatur langkah bagi meneruskan pengajian di samping melaksanakan tugas dan amanah yang telah ditetapkan untuk 2013 sebagai insan guru. Banyak perkara yang perlu dan harus  dipertimbangkan untuk memenuhi segala tuntutan kehidupan ini.. Kita mesti bina semangat untuk diri sendiri agar mampu untuk berdepan dengan cabaran yang bakal mendatang. Kerja yang banyak di samping tugasan kuliah tentunya akan memberi tekanan untuk kita:.


'KITA HENDAKLAH BELAJAR DARIPADA PENGALAMAN SEMALAM UNTUK MENERUSKAN KEHIDUPAN HARI INI DAN MELETAKKAN HARAPAN UNTUK HARI ESOK DAN SETERUSNYA...' Maka bersemangatlah untuk meneruskan pengajian sambil bekerjaya.

Friday, 14 December 2012

Peranan Pelajar Memartabatkan Bahasa Melayu


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia. Menurut Kamus Dewan(1970 :59) bahasa rasmi adalah bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.Maka dengan itu bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam sistem pendidikan negara.

Para pelajar di institusi pengajian tinggi sememangnya mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Golongan pelajar ini juga adalah merupakan golongan cerdik pandai yang sering melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti ilmu seperti seminar, pembentangan kertas kerja, pidato, forum, simposium dan pelbagai aktiviti yang melibatkan perbincangan, soal jawab , penerangan dan taklimat. Mereka seharusnya melibatkan diri dengan aktif agar boleh menggunakan bahasa dengan berhujah, memberi pandangan ,ulasan dan apa sahaja yang membawa kepada pemantapan bahasa.

Selain itu, mereka juga boleh melibatkan diri dalam bidang penulisan ilmiah atau menghasilkan buku-buku yang boleh dijadikan panduan kepada golongan yang ingin mencari ilmu dan meluaskan pembacaan. Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul merupakan langkah yang mesti diamalkan oleh para pelajar agar bahasa  yang dibentuk dapat membina jati diri  bangsa.

Sejarah telah membuktikan  bahawa golongan cerdik pandai menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memartabatkan Bahasa Melayu.

Monday, 10 December 2012

Budaya Membaca di Malaysia




              Pembangunan sesebuah negara adalah bergantung kepada rakyatnya yang berpengetahuan, berfikiran positif, rajin dan berdaya saing. Ilmu pengetahuan dapat diperoleh melalui amalan membaca.  Amalan membaca pula perlu diperlengkapkan dengan kemahiran memilih bahan bacaan yang berkualiti. Institusi keluarga berperanan untuk melahirkan individu yang bukan sahaja gemar membaca tetapi menjadikan membaca sebagai budaya.

             Usaha membudayakan aktiviti membaca di kalangan generasi muda merupakan titik tolak dalam membentuk masyarakat berpengetahuan yang dapat menyumbang kemahiran dan kepakaran kepada pembangunan sesebuah negara.

            Masyarakat Malysia kebanyakannya tidak suka untuk membaca. Alangkah rugi sebenarnya bagi pihak yang tidak suka membaca. Banyak pengetahuan yang telah diabaikan sekiranya budaya membaca tidak diterapkan.

            Sebenarnya, banyak pihak yang patut bekerjasama untuk memantapkan lagi budaya membaca di Malaysia. Sebagai guru Bahasa Melayu, saya berasa terpanggil untuk menekankan aktiviti membaca ini. Membaca dapat meningkatkan pengetahuan tentang kosa kata, peribahasa dan sebagainya. Oleh itu, kita mestilah berusaha untuk meluangkan masa dengan membaca!






           
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...