Galeri

Wednesday 24 October 2012

Ingatan buat anak-anak :)

Assalamualaikum . 

Pada malam yang barakah ini , saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang boleh kita jadikan pedoman dan panduan dalam hidup terutama sekali buat para pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM pada 5 November ini . Semoga kejayaan menjadi hak milik orang yang berusaha.

Di sini, saya ingin mengemukakan  beberapa tips dan nasihat buat semua yang bakal menduduki SPM terutama sekali anak saya, Fathin Insyirah bt Hafiz . 

  • Berusahalah bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan yang diimpikan.
  • Gunakanlah masa semaksimum mungkin untuk mengulangkaji pelajaran, berbincang dengan kawan dan bertanya kepada guru. 
  • Usahakan untuk menyelesaikan segala masalah ketidakfahaman dalam pelajaran.
  • Banyakkan mengambil santapan rohani supaya diri lebih dekat kepada Allah.
  • Jangan lupa mengambil makanan yang bagus untuk minda seperti kismis, kurma, gajus dan madu
  • Carilah keredhaan daripada orang-rang di sekeliling supaya ilmu yang kita dapat diberkati terutamanya daripada ibu bapa dan guru-guru.
  • Berserahlah kepada Allah . Sesungguhnya Dialah yang maha mengetahui apa yang berlaku.
STUDY SMART ! Bukan STUDO (Belajar+Tidur) dan STUDREAM (Belajar+Berangan)



مَنْ جَدَّ وَجَدَ





Thursday 11 October 2012

TIPS MENULIS AYAT

Ayat biarlah ringkas tetapi padat

  • Anda digalakkan menulis ayat yang pendek , ringkas dan padat berbanding yang panjang. Ini kerana ayat yang panjang biasanya terdedah kepada kesalahan tatabahasa.
  • Biasakan diri kamu mengolah ayat daripada isi yang telah disenaraikan.
  • Satu perenggan biasanya mengandungi 3, 4 atau 5 ayat sahaja bagi huraian satu isi.

*Panduan Menulis Dialog: Bagaimana hendak menulis dialog dengan baik?
Di bawah ini adalah contoh yang baik untuk menulis dialog dalam karangan anda. Mulakan setiap  dialog di baris  baru. Ini mengelakkan kekeliruan pemeriksa. Lihat contoh:
*Contoh Penulisan Dialog Yang Bagus

"Kamu baru pulang ?"
"Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya."
"Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal, lembut.
*Contoh Penulisan Dialog Yang Teruk
"Kamu baru pulang ?" "Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya." 



"Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal, lembut

PETUA BILA MENULIS KARANGAN!

  • Perlu memahami betul-betul kehendak soalan.
  • Catatkan apa sahaja isi-isi yang terlintas di fikiran, kemudian susun mengikut mana yang lebih penting.
  • Tuliskan karangan berdasarkan rangka yang kamu sediakan.
  • Karangan mestilah mempunyai pendahuluan, isi-isi dan penutup.
  • Bagi karangan meminta fakta, sekurang-kurangnya mempunyai empat isi (seelok-eloknya cari lima isi ) dan setiap perenggan mengandungi satu isi.
  • Gunakan ayat yang pendek dan bahasa yang mudah.


Saturday 6 October 2012

STRATEGI  ATAU  CARA-CARA  MENGARANG 

Sebelum menulis karangan perkara yang penting mesti dilakukan ialah :

a. Memilih tajuk atau soalan 1 (a) atau 1 (b) dan soalan 2
  • Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi.
  • Fahami bentuk soalan sama ada jenis berformat atau tidak berformat.
  • Mesti memilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai
  • Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan

    Bagaimana hendak memahami kehendak soalan supaya tidak terkeluar daripada tajuk?

    Kehendak soalan biasanya berada di akhir arahan seperti contoh-contoh di bawah:

    CONTOH 1:
    Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan sebuah karangan mengenainya.

    CONTOH 2:
    Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan laporan mengenainya untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.


    Komen: Tajuk karangan di atas adalah sama, tetapi dari segi formatnya berbeza. Soalan satu merupakan karangan biasa , manakala soalan 2 berformat.

    Tips: Adalah lebih baik jika anda menggariskan semua perkataan-perkataan yang menjadi kata kunci dalam soalan untuk  mengelakkan karangan daripada terpesong atau terkeluar daripada tajuk sebenar.
b. Menyusun rangka karangan
  • Pilih mana-mana kaedah yang mudah bagi anda mencari isi
  • Senaraikan semua isi penting secara ringkas yang mungkin.
  • Susun isi mengikut urutan kepentingannya.
  • Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihurai.
  • Isi penting jangan diulang-ulang
c. Menulis karangan
  • Pendahuluan mesti ditulis dalam perenggan yang pertama. Pendahuluan yang menarik boleh memberikan kesan yang baik kepada pembaca terutama pemeriksa.
  • Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan contohnya.
  • Bahagian-bahagian karangan yang ideal:
1.      Perenggan Pendahuluan
2.      Perenggan isi pertama dengan contoh berkaitan isi pertama
3.      Perenggan isi kedua dengan contoh berkaitan isi kedua
4.      Perenggan isi ketiga dengan contoh berkaitan isi ketiga
5.      Perenggan isi keempat dengan contoh berkaitan isi keempat
6.      Perenggan Penutup
  • Tulislah mengikut urutan rangka yang telah dibuat selain menjaga kekemasan tulisan.

d. Menyemak karangan
  • Setelah habis menulis karangan anda perlu menyemak bagi memastikan jika ada tulisan anda yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.
  • Baca berulang kali bagi memastikan ketepatan karangan anda.


e. Secara umum peruntukan masa untuk sebuah karangan
  • 4 minit mencari isi
  • 24 minit menulis karangan
  • 2 minit menyemak semula karangan
  • Jumlah = 30 minit
Tips Pengurusan Masa: Jika tidak faham soalan satu, cubalah jawab soalan lain
  • Anda  mesti menepati masa yang ditetapkan.
  • Adalah diingatkan jangan terlalu leka menjawab satu soalan. Jika masa telah melebihi 30 minit beralih kepada soalan yang kedua pula. Ini kerana adalah lebih baik menjawab dua soalan daripada menjawab satu soalan yang baik.

Wednesday 3 October 2012


PENGENALAN KARANGAN ( PENULISAN )
  1. Lazimnya , dalam ujian penulisan Bahasa Melayu murid kehendaki menulis dua buah karangan, iaitu soalan satu dan soalan dua.
  2. Dalam soalan 1, dua tajuk karangan akan dikemukakan, oleh itu pilih salah satu daripada dua tajuk tersebut sama ada soalan 1(a) atau soalan 1(b). Soalan 2 tiada pilihan dan merupakan soalan wajib.
  3. Masa yang diperuntukkan untuk menjawab kedua-dua soalan itu ialah satu jam.
  4. Bagi tiap-tiap soalan, panjang karangan mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.
Karangan Terbahagi Kepada Dua bahagian :
A. Berformat


Jenis-Jenis Karangan Berformat:
  1. Jenis Surat Kiriman Rasmi
  2. Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi
  3. Karangan jenis Ucapan
  4. Karangan jenis Syarahan
  5. Karangan jenis Dialog / Temuramah / Perbualan / Wawancara
  6. Karangan jenis Berita
  7. Karangan jenis Catatan Diari
  8. Karangan jenis Laporan
  9. Karangan jenis Perbahasan
  10. Kad Jemputan
B. Tidak Berformat

Jenis-Jenis Karangan Tidak Berformat
  1. Karangan Rangsangan Bergambar / Rangsangan Kata
  2. Karangan Jenis Pengalaman / Cerita / Gambaran / Situasi
  3. Karangan Jenis Fakta / Penerangan
  4. Karangan Jenis Perbincangan
  5. Karangan Jenis Melengkapkan Cerita
  6. Karangan Jenis Autobiografi / Biografi
  7. Karangan Jenis Peribahasa



TUJUAN ANDA MENGARANG
  • menguji kefahaman anda mengenai tajuk karangan itu.
  • menguji kebolehan, kemahiran dan keupayaan anda menarik minat pembaca.
  • menguji fikiran, pendapat, dan idea-idea anda.
  • menguji tentang sejauh mana pembacaan anda.


PANDUAN MENGARANG / MENULIS

Sebelum sesuatu karangan ditulis, kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Kemudian kita fikirkanlah pula tentang :

A. Pengenalan
B. Isi-isi dan
C. Penutup

A. Pengenalan

Pembukaan atau pengenalan adalah suatu langkah untuk memberitahu atau memperkenalkan isu atau tajuk. Di bahagian pengenalan kita hendaklah membuka minda pembaca agar dapat mengetahui isu yang hendak dibincangkan dan faham apa yang dinyatakan.Kita juga hendaklah menarik perhatian pembaca supaya ingin membaca karangan itu seterusnya.

Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan.


B. Isi

Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Empat isi diperlukan untuk sebuah karangan. Sekiranya  lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain.

 Isi yang utama didahulukan dan setiap isi disusun dalam perenggan-perenggan. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain.

Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri.

Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.


Panduan mencari isi-isi berdasarkan peta minda:
Kaedah peta minda adalah cara terbaik untuk mencari isi . Kemukakan pertanyaan kepada diri anda dan fikirkan jawapannya sama ada menerusi logik akal atau berdasarkan bahan rujukan seperti buku, majalah, surat khabar, ensiklopedia atau kamus bagi fakta. Antara lima pertanyaan paling utama dan popular ialah:
  • Apa?
  • Siapa?
  • Bila?
  • Mengapa?
  • Di mana?
  • Bagaimana?

C. Penutup

Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan.

*Layan dulu video Teknik Menjawab Penulisan BM UPSR kat bawah ni*





TUJUAN MENGARANG / MENULIS


Tujuan
Tujuan mengarang atau menulis ialah sebagai salah satu alat komunikasi tidak langsung dalam pelbagai ragam.  Secara umumnya, tujuan menulis adalah untuk memberikan arahan, menjelaskan sesuatu, menceritakan kejadian, meringkaskan, dan menyakinkan . Menurut Syafie’ie (1988:51-52),  tujuan penulisan dapat diklasifikasikan sebagai berikut.
1)      mengubah keyakinan pembaca;
2)      menanamkan pemahaman sesuatu terhadap pembaca;
3)      merangsang proses berfikir pembaca;
4)      menyenangkan atau menghibur pembaca;
5)      memberitahu pembaca; dan
6)      memotivasi pembaca.

DEFINISI KARANGAN


Karangan
Karangan ialah karya tulis hasil daripada kegiatan seseorang untuk mengungkapkan gagasan dan menyampaikannya melalui bahasa tulis kepada pembaca untuk difahami. Lima jenis karangan yang umum dijumpai dalam kehidupan seharian adalah narasi, deskripsi, eksposisi, argumentasi, dan persuasi.

Monday 1 October 2012

Pendahuluan Menarik<----->Karangan yang Baik

Tajuk : Isu Penderaan
(Pendahuluan Jenis Definisi)
Dera bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman. Mendera bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. Penderaan pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya, penderaan terbahagi kepada dua jenis, iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

Tajuk : Kepentingan Bahasa Inggeris
( Pendahuluan Jenis Pendapat)
Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawakita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau berkata bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. menurut beliau, bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.

Tajuk : Gambaran Tentang Kemalangan Ngeri Rumah Tertimbus
( Pendahuluan Jenis Suasana)
Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

Tajuk : Isu Kemalangan Jalan Raya
( Pendahuluan Jenis Persoalan)
Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada-ada sahaja kemalangan jalan raya yang dilaporkan di media massa? Hal ini amat membimbangkan terutamanya menjelang musim perayaan. Siapakah yang patut dipersalahkan, pengguna jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

Tajuk :Rencana "Perpaduan Asas Kemajuan"
(Pendahuluan Jenis Peribahasa)
Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menekankan aspek kerjasama dan perpaduan termasuklah "Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni", "Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah", "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", "Bagai aur dengan tebing", dan Ibarat Telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua". Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas kemajuan sesebuah negara.

Tajuk: Kemerosotan Sukan Bola Sepak
( Pendahuluan Jenis Sejarah)
Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an, dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kita setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?


SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN KEPADA PELAJAR SMK MUDZAFFAR SHAH!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...