Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia. Menurut Kamus Dewan(1970 :59) bahasa rasmi adalah bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.Maka dengan itu bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam sistem pendidikan negara.
Para pelajar di institusi pengajian tinggi sememangnya mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Golongan pelajar ini juga adalah merupakan golongan cerdik pandai yang sering melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti ilmu seperti seminar, pembentangan kertas kerja, pidato, forum, simposium dan pelbagai aktiviti yang melibatkan perbincangan, soal jawab , penerangan dan taklimat. Mereka seharusnya melibatkan diri dengan aktif agar boleh menggunakan bahasa dengan berhujah, memberi pandangan ,ulasan dan apa sahaja yang membawa kepada pemantapan bahasa.
Selain itu, mereka juga boleh melibatkan diri dalam bidang penulisan ilmiah atau menghasilkan buku-buku yang boleh dijadikan panduan kepada golongan yang ingin mencari ilmu dan meluaskan pembacaan. Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul merupakan langkah yang mesti diamalkan oleh para pelajar agar bahasa yang dibentuk dapat membina jati diri bangsa.
Sejarah telah membuktikan bahawa golongan cerdik pandai menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memartabatkan Bahasa Melayu.
0 comments:
Post a Comment