Galeri

Sunday, 25 November 2012

PANDUAN MERINGKAS


Kertas Dua : Bahagian A
PENILAIAN MENENGAH RENDAH
BAHASA MELAYU
Kod 02/02
BAHAGIAN A (i)
RINGKASAN
Nota:
-  Calon dikehendaki meringkaskan petikan berdasarkan kehendak soalan supaya menjadi
tidak melebihi 80 patah perkataan.
-  Contoh:
o Tulis sebuah ringkasan tentang masalah penjualan buku-buku dalam bahasa Melayu.
o Tulis sebuah ringkasan tentang faktor-faktor yang menyebabkan banjir kilat di ibu kota.
o Tulis sebuah ringkasan tentang cara-cara memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
-  Biasanya petikan yang dikemukakan adalah rencana tentang isu-isu semasa.
-  Sebanyak 40 minit diperuntukan untuk menjawab Bahagian A(i) dan A(ii).
-  Markah yang diperuntukan pula ialah 20 markah.
Teknik Meringkaskan Petikan:
-    Calon perlu membaca dan memahami arahan soalan di samping memastikan jumlah perkataan yang dikehendaki.
-    Baca petikan lebih daripada sekali dengan teliti sehingga betul-betul faham akan isi petikan tersebut.
-    Semasa membaca petikan, garisi perkataan yang menggambarkan isi yang dikehendaki oleh soalan.
-    Cuba gabungkan perkataan-perkataan tersebut untuk membentuk isi yang mantap.
-     Gunakan penanda wacana untuk membentuk ayat bagi menampakkan perkaitan isi.
-    Huraian isi dan contoh-contoh perlu ditinggalkan.
-    Calon digalakkan menggantikan huraian isi yang panjang dengan perkataan tertentu atau istilah lain yang lebih sesuai.
-    Selepas menulis ringkasan itu sila kira jumlah perkataan serta semak jika terdapat kesalahan ejaan atau  tatabahasa.
-    Markah maksimum untuk isi ialah 10 markah (5 isi x 2 = 10 markah); manakala markah maksimum untuk     bahasa ialah 10 markah(bergantung pada persembahan bahasa pelajar).
-    Tulis ayat-ayat baru dalam satu perenggan sahaja.
-    Salin hasil ringkasan dalam kertas jawapan dengan tulisan yang kemas. Kemudian, tulis jumlah perkataan di bahagian kanan jawapan.
INGAT!!! Jangan salin ayat bulat-bulat daripada isi tersebut; dan jangan ubah kesemua perkataan yang terdapat dalam isi tersebut kerana bimbang maksudnya akan terpesong.

Contoh Soalan:
Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan belajar secara berkumpulan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kita sering mendengar beberapa istilah seperti kumpulan perbincangan, study group, study circle, halaqah ataupun usrah. Pada umumnya, kumpulan perbincangan ini merupakan suatu kumpulan kecil individu yang ditubuhkan untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat tentang perkara-perkara tertentu bagi kepentingan anggota kumpulan tersebut. Aktiviti ini dianggap suatu tradisi meningkatkan ilmu jika perbincangan itu dijalankan secara berkekalan.
Dalam proses memahami bahan-bahan yang kita peroleh daripada buku atau kuliah untuk disusun dalam bentuk lebih kemas, kita memerlukan perbincangan. Kerap kali kita mempunyai pecahan-pecahan ilmu yang terasing atau bahan yang berselerak dan kita tidak dapat mengaitkannya dengan konteks yang sebenarnya. Mungkin pecahan-pecahan yang kita miliki tidak cukup untuk kita kaitkan dan sambungkan sebagai satu kesatuan yang jitu.
Kita memerlukan orang lain untuk memberikan pecahan-pecahan yang tidak kita miliki itu dan menyusunnya sebagaimana isi kandungan itu seharusnya disusun. Tugas itu memerlukan perkongsian pendapat dengan rakan-rakan atau orang yang sama-sama mahu mendapatkan pengetahuan tersebut. Jikalau perbincangan itu disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar, kesan perbincangan itu lebih bermakna.
Apabila kita bekerja dengan orang lain, kadar kepantasan kita akan meningkat. Hal ini demikian kerana adanya unsur-unsur persaingan dan tentulah kita mahu mengemukakan pendapat yang terbaik dan sumbangan yang bermanfaat kepada kumpulan. Dengan demkian kita akan membuat persediaan awal yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan perbincangan itu.
Namun begitu, kumpulan perbincangan itu ada juga keburukannya. Bagi sesuatu perkara yang rumit dan memerlukan kebolehan intelektual, perbincangan lebih banyak memberikan gangguan dan akhirnya objektif pembelajaran tidak tercapai.

Contoh Jawapan:
Kumpulan perbincangan diadakan bertujuan untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dalam kalangan ahli. Melalui aktiviti ini, pemahaman tentang sesuatu perkara dapat dipertingkatkan. Selain itu, nota hasil pembelajaran dapat disusun dengan tepat,rapi dan mengikut urutan. Rakan-rakan yang mahir dan pakar juga dapat menjelaskan sesuatu perkara yang sukar difahami dengan terperinci. Selain itu, . Di samping itu, semua ahli kumpulan mendapat faedah hasil daripada perbincangan yang dilakukan. Akhir sekali kumpulan perbincangan dapat meningkatkan kadar kepantasan dan kecekapan.

                                                                                                             (75 patah perkataan)

 bekerja setiap ahli kumpulan.BAHAGIAN A (ii)
PEMAHAMAN
Nota:
-    Tiga soalan akan dikemukakan.
-    Soalan (i) dan Soalan (ii) lazimnya berkaitan dengan isis petikan. Sila rujuk petikan untuk mendapatkan
jawapan.
-    Soalan (iii) merupakan soalan terbuka yang memerlukankemahiran berfikir murid. Jawapan perlu
munasabah.
-    Markah yang diperuntukan ialah 10 markah.
Teknik Menjawab Soalan Pemahaman
1.    Calon perlu memahami kehendak soalan yang dikemukakan dan jumlah markah yang ditetapkan bagi
setiap soalan.
  1. Soalan (i) Soalan tentang maksud frasa atau rangkai kata dan juga peribahasa yang terdapat dalam
petikan dan 2 markah akan diberi.
  1. Seboleh-bolehnya, gantikan setiap perkataan dalam rangkai kata tadi dengan perkataan anda
sendiri, tetapi hendaklah mengikut maksud penggunaannya dalam petikan.
  1. Soalan (ii) adalah soalan  pemahaman berdasarkan petikan dan markah yang diberi ialah 4.
  2. Oleh sebab soalan ini berdasarkan petikan, pelajar mestilah mencari isi jawapannya dalam petikan
tersebut.
  1. Setelah ditemui, jangan disalin bulat-bulat tetapi seperti menjawab ringkasan, pelajar sekurang-
kurangnya mengubah satu atau dua perkataan.
  1. Markah yang diberi ialah 4, maka pelajar perlu mengemukakan lebih daripada satu isi (2, 3
atau 4 isi jika ada dalam petikan).
  1. Soalan (iii) merupakan soalan pendapat yang jawapannya dikategorikan sebagai tersirat.
  2. Hal ini bermakna pelajar mesti membuat kesimpulan atau memberikan pendapat sendiri.
Contoh Soalan  dan Jawapan (Berdasarkan petikan di atas)
(i)             Apakah maksud tradisi meningkatkan ilmu dalam petikan di atas?
Tradisi meningkatkan ilmu bermaksud suatu cara yang sering dilakukan untuk menambahkan pengetahuan seseorang.
(ii)            Berikan dua cara belajar secara berkumpulan dapat dilakukan?
 Dua cara belajar secara berkumpulan dapat dilakukan ialah secara berbincang dalam satu kumpulan yang disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar dalam aspek yang sedang dibincangkan. Selain itu, mengemukakan pendapat yang bernas dan yang terbaik sebagai tamparan kepada cabaran pengetahuan ahli kumpulan yang lain.
(iii)           Pada pandangan anda, bagaimanakah cara untuk memberitahu murid tentang kebaikan belajar secara berkumpulan?
Pada pendapat saya, guru mata pelajaran hendaklah menjelaskan kepada murid bahawa belajar secara berkumpulan akan menyebabkan pelajaran kekal lama dalam ingatan. Pihak sekolah juga boleh mengadakan ceramah tentang cara belajar secara berkumpulan yang efisien. Selain itu, murid yang telah berjaya menggunakan akedah ini dijadikan murid contoh. Di samping itu, pihak kaunselor hendaklah memberi ceramah motivasi diri dan pengurusan diri untuk menjadi murid yang cemerlang.

Saturday, 17 November 2012

Assalamualaikum...bertemu lagi kita di arena penulisan...
 Apabila kita membicarakan tentang Bahasa Melayu sudah semestinya banyak perkara yang boleh dibincangkan. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang mempunyai pelbagai fungsi dan peranan iaitu:
i)       Sebagai Bahasa Rasmi
ii)      Sebagai Bahasa Kebangsaan
iii)     Sebaga Bahasa Ilmu
iv)     Sebagai Bahasa Pengantar
v)      Sebagai Bahasa Perpaduan

Hal ini akan  menjadikan Bahasa Melayu suatu bahasa yang kukuh dan berwibawa maka dengan itu penggunaannya juga seharusnya di perluaskan lagi di segenap aspek tanpa memikirkan cabaran lain yang mengganggu. Di samping itu perasaan bangga menggunakan Bahasa Melayu juga mesti mendahului perasaan-perasaan lain demi memartabatkan kedudukan dan keunggulan Bahasa Melayu di mata dunia. 

Tuesday, 13 November 2012

Indahnya Puisi Membina Nurani

"Guru Oh Guru"

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
    Berguru kepalang ajar,
    Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi manusia.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apapun pada akhirnya kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "Cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

                       Petikan daripada sajak "Guru Oh Guru"
                                      Usman Awang

.....begitulah besar dan agungnya penghargaan yang dikalungkan kepada insan guru

Saturday, 10 November 2012

Assalamualaikum semua pembaca.

Saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang boleh dijadikan sebagai panduan terutamanya untuk pelajar-pelajar tentang PERIBAHASA.




Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu.

Orang Melayu kaya dengan peribahasa. Antara peribahasa yang sering menjadi sebutan dan digunakan ialah "Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan", "Bagai aur dengan tebing", "Bagai menatang minyak yang penuh" dan lain-lain lagi.

Di sini, saya akan memberi beberapa peribahasa yang sering digunakan dan maksudnya. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web ini : http://www.karanganstpm.com/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=100&Itemid=96

1.Alah membeli menang memakai : Tidak apalah mahal sedikit harganya asal barang itu kuat (tahan dan sebagainya)

2.Bagai murai dicabut ekor : Orang yang suka bercakap banyak

3.Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga : Orang yang bersaudara itu tidak akan bercerai kerana perselisihan

4.Di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung : Mematuhi peraturan di tempat yang didiami

5.Enau mencari sigai : Perempuan mencari lelaki

6.Gajah dipandang seperti kuman : Terlalu marah

7.Hati gajah sama di lapah, hati kuman sama dicecah : Beruntung banyak sama-sama mendapat banyak, beruntung sedikit sama-sama mendapat sedikit

8.Ikan pulang ke lubuk : Kembali ke tempat asal

9.Jantung hati : Orang yang dikasihi

10.Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga : Kalau pengetahuan itu sedikit, jangan hendak berbuat sesuatu yang besar

11.Lidah tidak bertulang : Mudah berjanji dan mudah pula mengubah janjinya

12.Membaca jambatan ilmu : Ilmu pengetahuan dapat ditingkatkan melalui pembacaan

13.Nasi sudah menjadi bubur : Perbuatan yang sudah terlanjur (tidak dapat diubah lagi)

14.Orang mengantuk disorongkan bantal : Mendapat sesuatu yang sangat-sangat dikehendaki

15.Pucuk dicita ulam mendatang : Beroleh sesuatu lebih daripada apa yang diharapkan

16.Ringan tulang : Rajin bekerja, tangkas

17.Sediakan payung sebelum hujan : Hendaklah bersiap sedia sebelum terjadi sesuatu yang kurang baik

18.Terdengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan : Kerana mengharapkan sesuatu yang belum pasti, barang yang tersedia dilepaskan

19.Umpama lebah membuang sengat : Orang yang meninggalkan sikap suka mengata dan mengeji orang

20.Yang bulat datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang : Rezeki perlu diusahakan dan tidak datang dengan sendirinya


Semoga dengan ilmu yang disampaikan ini dapat membantu kita untuk lebih berjaya dalam hidup. Peribahasa-peribahasa ini patut kita ambil sebagai teladan dalam hidup.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...