Saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang boleh dijadikan sebagai panduan terutamanya untuk pelajar-pelajar tentang PERIBAHASA.
Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu.
Orang Melayu kaya dengan peribahasa. Antara peribahasa yang sering menjadi sebutan dan digunakan ialah "Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan", "Bagai aur dengan tebing", "Bagai menatang minyak yang penuh" dan lain-lain lagi.
Di sini, saya akan memberi beberapa peribahasa yang sering digunakan dan maksudnya. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web ini : http://www.karanganstpm.com/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=100&Itemid=96
1.Alah membeli menang memakai : Tidak apalah mahal sedikit harganya asal barang itu kuat (tahan dan sebagainya)
2.Bagai murai dicabut ekor : Orang yang suka bercakap banyak
3.Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga : Orang yang bersaudara itu tidak akan bercerai kerana perselisihan
4.Di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung : Mematuhi peraturan di tempat yang didiami
5.Enau mencari sigai : Perempuan mencari lelaki
6.Gajah dipandang seperti kuman : Terlalu marah
7.Hati gajah sama di lapah, hati kuman sama dicecah : Beruntung banyak sama-sama mendapat banyak, beruntung sedikit sama-sama mendapat sedikit
8.Ikan pulang ke lubuk : Kembali ke tempat asal
9.Jantung hati : Orang yang dikasihi
10.Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga : Kalau pengetahuan itu sedikit, jangan hendak berbuat sesuatu yang besar
11.Lidah tidak bertulang : Mudah berjanji dan mudah pula mengubah janjinya
12.Membaca jambatan ilmu : Ilmu pengetahuan dapat ditingkatkan melalui pembacaan
13.Nasi sudah menjadi bubur : Perbuatan yang sudah terlanjur (tidak dapat diubah lagi)
14.Orang mengantuk disorongkan bantal : Mendapat sesuatu yang sangat-sangat dikehendaki
15.Pucuk dicita ulam mendatang : Beroleh sesuatu lebih daripada apa yang diharapkan
16.Ringan tulang : Rajin bekerja, tangkas
17.Sediakan payung sebelum hujan : Hendaklah bersiap sedia sebelum terjadi sesuatu yang kurang baik
18.Terdengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan : Kerana mengharapkan sesuatu yang belum pasti, barang yang tersedia dilepaskan
19.Umpama lebah membuang sengat : Orang yang meninggalkan sikap suka mengata dan mengeji orang
20.Yang bulat datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang : Rezeki perlu diusahakan dan tidak datang dengan sendirinya
Semoga dengan ilmu yang disampaikan ini dapat membantu kita untuk lebih berjaya dalam hidup. Peribahasa-peribahasa ini patut kita ambil sebagai teladan dalam hidup.
1 comments:
Info yang sangat menarik dan bermanfaat. Idea yang segar dan sesuai dibaca oleh semua golongan. Bahasapun mudah menyebabkan komunikasi lancar dan proses penyerapan ilmu sangat cair. Teruskan usaha dan kembangkan lagi idea2 yang segar dan rangup sesuai dengan perkembangan semasa yang semakin laju dan pesat. Tahniah sahabatku....
Post a Comment